Thursday, April 1, 2010

Ibu Bapa Terakhir Tahu Anak Terlibat Dadah | PENGASIH Malaysia

BANGI : Ibu bapa selalunya menjadi orang terakhir yang mengetahui anak mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah kerana kelalaian mereka untuk memperkasakan maklumat tentang dadah dan risikonya, kata Yang DiPertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi.

Beliau berkata, ibu bapa kebiasaannya akan mendapat tahu bahawa anak mereka terlibat dengan dadah apabila ditahan atau ditangkap oleh pihak berkuasa dan mereka ini sentiasa dalam penafian dan terkejut apabila mendapat berita ini.

“Justeru itu ibu bapa perlu lebih bermaklumat tentang dadah, perlu persediaan terhadap pemantauan tanda-tanda awal dan perubahan sikap negatif anak-anak. Setiap individu yang menagih selalunya menunjukkan tanda-tanda awal yang boleh dikesan oleh ibu bapa,” katanya dalam seminar Bengkel Kenali Anak Kita, Zon Tengah di Hotel Residence, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini, baru-baru ini.

Mohd Yunus berkata, Ibu bapa dan masyarakat juga harus berperanan dalam hal ini. Membantu remaja-remaja yang bermasalah seharusnya bermula dari rumah. Jiran-jiran misalnya boleh membantu dalam mengenal pasti remaja yang bermasalah dan cuba membawa mereka ke jalan yang baik melalui teguran yang berhemah.

Menurutnya, semua pihak harus menanganinya secara kolektif dan bijaksana. Aliran fahaman remaja berubah dari zaman ke zaman dan cara menanganinya akan turut berubah.

“Ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan media harus sentiasa menyumbang kepada penyelesaian masalah ini. Menghadapi cabaran globalisasi yang tiada sempadan ini memungkinkan semua maklumat sama ada baik atau benar disalurkan secara terus kepada remaja,” katanya lagi.

Dalam seminar yantg bertajuk “Pencegahan Bermula Dari Rumah” itu, Mohd Yunus membuat penghuraian tentang apa itu dadah, kenapa dan bagaimana seseorang itu boleh terlibat dengan penagihan dadah.

Beliau memberi panduan, bagaimana cara menyampaikan maklumat kepada ibu bapa di luar Bandar tentang segala perkara yang berkaitan dengan dadah.

Bengkel tiga hari itu dihadiri oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

Bengkel “Kenali Anak Kita” ini adalah program susulan daripada Bualbicara dan Seminar yang telah Pengasih jalankan dengan kerjasama Petronas. Pada bengkel ini, isu-isu berkaitan kekeluargaan, mencegah penyalahgunaan dadah serta panduan untuk bertindak sebagai agen perubahan akan dibentang oleh pakar dalam bidang tersebut.

Selain Mohd Yunus, turut membentangkan kertas kerja dalam bengkel tersebut ialah kaunselor daripada Filipina Puan Malyn Cristobal, Dr Hamizah Mohd Hassan, Puziyah Mohd Jilis, Salmi Jalina Jalil dan Fouziah Hanim Yahya daripada Lembaga Pembangunan Penduduk dan Kekeluargaan Negara (LPPKN) serta Dr Yahya Don dari Universiti Utara Malaysia (UUM)"

0 comments: