Saturday, January 16, 2010

Zaharuddin.net,

Ingatlah Blogger & Pemilik Forum Sekalian:




"Setiap pemilik blog sememangnya bebas untuk memuatkan apa jua coretan dan gambar yang mereka sukai, namun mereka juga WAJIB bertanggungjawab untuk meemastikan entrynya tidak menggalakan pembzairan waktu dan masa diri sendiri dan pembaca tanpa mesej jelas. Selain itu, WAJIB pula dijaga dari sebarang komen buruk dan negatif terhadap Islam.

JAGA-JAGALAH PEMILIK FORUM

Sama seperti forum-forum yang begitu pelbagai di internet hari ini. Terdapat forum politik, forum perbincangan agama, forum remaja, forum pelbagai dan lain-lain.

Namun agak malang juga apabila melihat sebahagian forum TIDAK TERKAWAL kandungannya. Benarlah, ia memberikan sebahagian manfaat tetapi ia turut membarahkan masalah sosial, akhlak dan agama apabila melepas bebaskan pemberi komen, penghantar artikel untuk menulis apa sahaja.

Pemberi komen di forum dan blog hari ini ada yang bertukar watak syaitan ketika memberi komen, berselidung di sebalik nama palsu dan umum. Sama seperti manusia di jalan raya di Malaysia (bukan di UK), watak sebenar seseorang individu kerap terzahir ketika memandu, ramai tidak disangka ia seganas itu, tetapi itulah dia.

Jika masih ingin memberikan kebebasan umum kepada pelawat, pemilik blog atau forum MESTI mempunyai tenaga pakar yang memantau dan menjawab dengan cepat serta pantas agar setiap idea yang ditulis oleh pelawat yang rencam latarbelakangnya ini dapat ditapis dan dijaga.

'Jika tidak dijaga, adakah pemilik forum berdosa ya ustaz?' itu pertanyaan seorang pelajar kepda saya semasa mengadakan satu kuliah Mawlidur Rasul di UK.

'Sudah tentu!.. biasanya forum bertema politik adalah yang paling meriah dengan dosa fitnah, mengumpat dan lainnya, forum lain juga banyak tapi saya tidak tahu sama ada ia wujud atau tidak '

Ingatlah, bukankah Nabi s.a.w menyebut di dalam hadis sohih Al-Bukhair dan Muslim :
كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته

'Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya..' jawab saya ringkas.

'Bagaimana adakalanya terdapat beberapa orang yang bukan khusus dalam bidang agama, tetapi mengulas pendapatnya, sedangkan pendapat itu mungkin bertentangan dengan Islam' Dia bertanya lagi.

Tidak salah seseorang mengutarakan pendapat, cuma bimbangnya agak semakin meluas hari ini terlalu ramai merasakan pendapatnya adalah paling tepat tanpa menghiraukan pandangan ulama Islam berasaskan al-Quran dan As-Sunnah. Semakin ramai juga tidak mengetahui kejahilan diri, tidak menyedari sempadan ilmu yang dimiliki. Ia tanda dunia semakin mengelirukan, kebenaran semakin berkabus, sukar dituju dan dilihat.

Memang benar, manusia yang paling sesat adalah manusia yang jahil dan tidak mengetahui berkenaan kejahilannya.

Malangnya, kumpulan ini semakin bertambah jumlahnya dan kalau dulu, tiada ramai terkena mudarat dari mereka, tidak ramai pula kenalan mereka. Namun hari ini di waktu kemunculan blog percuma, forum dan media internet, idea kejahilan pembawa racun mereka tersebar meluas, pantas beredar di dalam minda ramai yang juga jahil. Maka lahirlah kumpulan yang jahil lagi menyesatkan dan terus berkembang.

Ibn Umar berkata :
العلم ثلاثة، كتاب ناطق، وسُنّة قائمة، ولا أدري



Ertinya : 'Ilmu itu punyai tiga cabang, al-kitab yang bertkata ( nas alquran), sunnah baginda nabi yang lalu, dan kata-kata 'aku tida tahu' ( Uyun al-Akhbar, 5/130 ; Riwayat Al-Khatib secara Mawquf )

Jika keadaan itu berlaku di dalam sesuatu forum, pemilik forum perlu menentukan sikap dan kaedah pengendalian forumnya, sama ada untuk terus memadam atau meluluskan dengan jawapan dari panel mereka yang faham bab agama.

Nasihat saya buat pemilik forum, bertaqwalah kepada Allah. Jangan sampai forum yang dimiliki menjadi asbab ke neraka, jadikan ia kunci kepada rahmat ilahi untuk ke Syurga. Namun, jalan ke syurga adalah dengan duri dan payah, jalan ke neraka dengan syahwat dan seronok, demikian tegas baginda Nabi s.a.w.

Sahabat Nabi bernama Abdullah Ibn Mas'ud r.a berkata :-
لايزال الناس بخير ما أخذوا العلم عن أكابرهم، وعن أمنائهم وعلمائهم، فإذا أخذوه عن صغارهم وشرارهم هلكوا



Ertinya : Sentiasalah manusia berada dalam keadaan baik selagimana mereka mengambil ilmu dari orang berpengalaman (berusia), mereka yang amanah dan para ulama mereka, dan atatakala mereka mengambil ilmu dari mereka yang kurang pengalaman (muda remaja) dan yang jahat, nescaya mereka akan mula hancur' ( Jami' Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih ; 1/616 )

Ulama berbeza pendapat mentafsir perkataan 'as-Sighar atau muda dalam athar di atas. Ibn Qutaibah : ertinya individu usia muda tandanya umurnya masih kecil dan giginya masih kecil.

Umar Al-Khattab berkata :
قد علمت متى صلاح الناس ، ومنى فسادهم : إذا جاء الفقه من قبل الصغير ، استعصى عليه الكبير ، وإذا جاء الفقه من الكبير تابعه الصغير فاهتديا



Ertinya : 'Telah aku tahu bilakah manusia menjadi baik dan menjadi buruk. Apabila datang kefahaman hukum Fiqh dari orang muda, nescaya mereka akan sentiasa bercanggah dengan orang tua, namun apabila kebijaksanaan fiqh itu datang dari orang tua, yang muda akan mengikutinya dan sama-sama mendapat hidayah.' (Jami' Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih ; Ibn Abi Al-Barr)

Terdapat juga ulama yang membawakan tafsiran muda boleh membawa erti fizikal umur dan juga secara maknawi iaitu umur tua tetapi ilmunya masih muda dan seperti kanak-kanak.

Kesimpulan dalam bab ini, ambillah ilmu dari mereka yang berpengalaman, sebaiknya yang berusia lagi alim. Namun sekiranya yang berusia sudah pupus yang alim dan tinggi ilmunya, sehingga ramai mula mengambil ilmu dari ilmuan muda. Itu antara tanda akhir zaman . Nabi bersabda :
إن من أشراط الساعة أن يلتمس العلم عند الأصاغر



Ertinya: Sesungguhnya salah satu dari tanda hampirnya kiamat adalah orang menuntut ilmu dari mereka yang muda (fizikal dan umur, atau boleh juga membawa maksud orang kurang ilmu dan pengalaman)' ( Riwayat al-Lalakie; hadis sohih, 1/102)

GAMBAR, BLOG, FACEBOOK DAN FRIENDSTER

'ana rasa anta patut tulis satu artikel berkenaan etika berblog, khususnya blogger wanita muslimah' kata seorang ustaz popular kepada saya semasa menziarahi rumahnya.

Elok juga sebenarnya jika beliau sendiri yang menulis topik itu berbanding meminta saya untuk menulisnya.

Namun memang benar, ada diantara pemilik blog yang tiada menjaga auratnya, dipaparkan gambarnya di rumah yang adakalanya tidak sempurna tutupan auratnya, jika sempurna pun terlalu banyak gambar dirinya sehingga boleh membuat pembaca yang kurang beriman ditarik Syaitan untuk melihat dengan ‘pandangan tembus baju' di setiap gambar-gambar YANG BERAKSI di dalam blognya, selain itu, terdapat juga mereka yang memasukkan gambarnya yang sedang duduk dengan pelbagai gaya, malah berbaring.

Selain blog, ruangan facebook dan friendster juga menjadi tempat sumbatan ribuan gambar dengan pelbagai gaya.

Justeru itu, berpadalah dan fahamilah, diri ini bukan milik kita, ia milik Allah swt dan tertakluk dengan batas-batasan yang ditentukan Allah swt. Bukan tidak boleh meletak gambar tetapi wajiblah menutup aurat penuh, dalam kedudukan yang sopan dan seterusnya tidaklah pula terlalu banyak sehingga boleh membuka ruang fitnah. Khususnya seorang wanita yang boleh saja seorang lelaki jahat memetik gambarnya lalu dibomohkan.

AKHIRNYA

Apapun pengisian bermanfaat dari blog kami dan anda kepada pembaca, ingatlah wahai pembaca, ilmu yang dipelajari semata-mata dari blog dan buku tidak mampu memberikan segalanya buat anda. Carilah ia dari guru dan dari mulut sang guru. Tanpa memperolehinya dari mulut sang guru, ia mungkin sahaja membawa kepada kefahaman yang lain dan maksud yang salah. Imam As-Syafie berkata :-



من تفقه من بطون الكتب ضيع الأحكام

Ertinya : Sesiapa yang mengaji dan mempelajari ilmu hanya dari perut-perut kitab, akan hilanglah hukum-hakam; ( Tazkirat as-Sami'; hlm 87 )

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman"

0 comments: