Friday, December 4, 2009

RENUNG-RENUNGKAN

: "Suami wajib mencari nafkah keluarga
Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

BARU-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa bilangan suami yang menjadi suri rumah tangga semakin meningkat. Ini bermakna, suami berhenti bekerja dan menjadi pengurus rumah tangga, manakala isteri meneruskan kerjayanya di luar rumah. Walaupun tiada data rasmi mengenainya, namun dipercayai bahawa semakin banyak pasangan suami isteri yang membuat keputusan seperti ini dalam usaha untuk menjayakan perkahwinan mereka. Punca utama yang menyebabkan pasangan suami isteri membuat keputusan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang memuaskan hati.
Mengambil pembantu rumah tidak menjadi pilihan kerana mereka merasakan kehadiran pembantu ini mengganggu privasi. Menghantar anak-anak ke pusat asuhan juga dianggap tidak sesuai kerana tahap penjagaan yang kurang memuaskan hati. Maka, keluarga yang dalam keadaan ini memutuskan bahawa adalah wajar si suami berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga, manakala isteri terus bekerja dan secara tidak langsung menjadi pencari nafkah keluarga.
Ada yang melihat suami-suami yang memilih menjadi suri rumah tangga sebagai kumpulan yang mengalami perubahan paradigma kerana sebagai lelaki, mereka sanggup membuat kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh wanita.
Oleh kerana itu, keputusan mereka dipandang mulia dan terpuji. Namun, wajarkah aturan seperti ini berlaku dalam keluarga Islam?
Wajarkah seorang suami yang beragama Islam menjadi pengurus rumah tangga, manakala isterinya menjadi pencari dan pemberi nafkah untuk keluarga tersebut?
Pastinya, tidak wajar. Aturan ini tidak wajar bukan kerana Islam menghalang suami dari melakukan kerja-kerja rumah.
Malah, suami amat digalakkan untuk membantu isteri di rumah sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah membantu isteri-isteri Baginda.
Aturan ini tidak wajar kerana ia melanggar ketetapan Allah bahawasanya dalam keluarga Islam, tanggungjawab nafkah terletak di bahu suami (An-Nisa’:34).
Ini bererti, dalam keluarga Islam, golongan suami yang wajib bekerja untuk mencari nafkah dan bukannya isteri.
Walaupun Islam tidak melarang wanita untuk keluar bekerja, tetapi wanita bekerja bukan untuk menanggung nafkah keluarganya.
Melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti suaminya berpenyakit dan tidak boleh bekerja atau wanita itu merupakan seorang ibu tunggal, si isteri terpaksa menjadi pencari nafkah untuk keluarganya.
Jika dia redha dengan aturan tersebut, maka itu adalah lebih baik baginya. Sebaliknya, jika dia tidak reda, tiada kesalahan baginya kerana waris suami perlu memainkan peranan mereka seperti yang termaktub dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 233.

Sekiranya suami tiada halangan untuk bekerja, mereka perlu menanggung nafkah keluarganya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang membawa maksud: “Jika seseorang itu mencari kayu api dan menjualkannya, itu adalah lebih baik dari dia meminta-minta”.

Demikianlah kerasnya tuntutan Islam agar kita berusaha mencari rezeki.Justeru, walaupun gaji isteri 10 kali ganda berbanding suami, suami masih perlu memberi nafkah kepada isterinya.Jumlah nafkah sebenarnya bergantung kepada kemampuan suami.
Jadi, tiada isu bahawa apa yang diberi oleh suami tiada nilai di sisi isteri. Yang penting, nafkah itu dapat menampung keperluan keluarga tersebut.
Di zaman serba canggih dengan teknologi maklumat (IT) ini, memang wujud banyak kesempatan untuk bekerja dari rumah. Malah, ramai yang kini mencari rezeki dari bilik tidur mereka sendiri dengan menggunakan Internet. Sekiranya suami-suami tadi tidak bekerja di luar rumah tetapi masih mempunyai pendapatan dengan bekerja dari rumah dan menggunakan pendapatan tersebut untuk keluarga, maka aturan ini boleh diterima oleh Islam.
Namun, jika suami tadi hanya menjadi pengurus rumah tangga tetapi tidak membawa nafkah, maka itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar.
Malah, isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami gagal menunaikan tanggungjawab nafkahnya untuk tempoh yang tertentu.
Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana dianugerahkan al-Quran dan Sunah sebagai panduan untuk mengatur kehidupan kita.
Jadi, apa perlunya menoleh ke Barat?
Jika fenomena suami menjadi suri rumah tangga ini semakin ketara di Barat, mestikah ia juga berlaku dalam masyarakat kita?
Akan mundurkah masyarakat kita jika fenomena yang sama tidak berlaku di sini?
Bagi masyarakat yang tiada panduan, apa sahaja boleh berlaku. Tetapi tidak bagi masyarakat Islam. Jika masyarakat Hadhari menjadi matlamat kita, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu dihentikan segera. [Utusan Malaysia]"

0 comments: