Saturday, December 5, 2009

: Kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat (IT)

: "Kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat (IT)

IT merupakan bidang yang luas dan meliputi semua bentuk teknologi yang digunakan untuk mencipta, memproses, menyimpan, dan menggunakan maklumat dalam pelbagai bentuk (seperti data perniagaan, mesej suara, imej pegun, filem, persembahan multimedia). Tambahan pula, IT juga satu bidang yang berkembang pesat. Ia mengubah dunia secara radikal dengan memperkenalkan pelbagai cara baru menjalankan perniagaan, membuat kerja, mengurus hiburan dan mencipta seni. Pendek kata, ia meliputi perkara berkaitan dengan sains komputer dan teknologi yang berkait rapat dengan perkakasan dan perisian komputer, reka bentuk, pemasangan serta pelaksanaan sistem maklumat dan penggunaan aplikasi.

Mata pelajaran yang termasuk dalam bidang ini ialah penciptaan perisian, pengaturcaraan (programming), sistem maklumat perniagaan dan pengurusan, sistem pengurusan pangkalan data (database), reka bentuk grafik, animasi, multimedia, reka bentuk laman web, sistem rangkaian (network), kejuruteraan perkakasan, sistem komunikasi data dan sistem komputer digital. Mereka yang telah lulus SPM / STPM boleh mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Maklumat di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Ijazah yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti asing yang tertentu juga diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Bakal pelajar perlu menyemak senarai institusi pengajian tinggi luar negara yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mengikuti kursus di seberang laut. Peluang pekerjaan dalam bidang ini banyak & boleh dikatakan cerah kerana penggunaan komputer secara berleluasa. Siswazah boleh mencari kerja di agensi kerajaan; firma pembuatan dan perkhidmatan; organisasi perdagangan; syarikat pembuatan komputer; bank tempatan dan luar negeri; organisasi penyelidikan; penguasa tempatan, institusi pengajian tinggi, organisasi antarabangsa atau bekerja sebagai perunding untuk memberi penyelesaian IT kepada pelbagai agensi termasuk kerajaan.

Mereka yang menceburkan diri dalam bidang IT diberi pelbagai gelaran bergantung kepada bidang kepakaran serta pengkhususan mereka: pengaturcara penggunaan; penganalisis sistem (system analyst); pentadbir pangkalan data; pentadbir sistem (system administrator); perundig perisian; pentadbir rangkaian (network administrator); pereka bentuk laman web (web desginer); pakar multimedia & animasi; pengurus sistem maklumat; pentadbir laman web (webmaster); pengurus projek IT; jurutera perkakasan; juruaudit sistem komputer; jurutera perisian (software engineer); pereka bentuk pangkalan data; dan penganalisis komunikasi data.

Mereka yang berkelayakan IT berupaya mendapat gaji yang lebih lumayan sekiranya memiliki satu kelayakan profesional – Microsoft Certified Professional (MCP). Di Malaysia, seorang profesional IT yang baru boleh mendapat gaji permulaan di antara RM 2,000 dan RM 2,500 sebulan . Mereka yang mempunyai pengalaman kerja lebih kurang 6 tahun serta pengetahuan dan kemahiran dalam pentadbiran rangkaian (network administration), reka bentuk laman web, reka bentuk grafik & animasi (graphic designer & animation), pengiklanan multimedia dan penyelesaian perniagaan (business solutions) boleh mendapat gaji kira-kira RM 6,000-RM 8,000 sebulan."

0 comments: