Friday, December 11, 2009

Kampung Sungai Bayor

Kampung Sungai Bayor: "Pokok Dan Sungai Bayor

Nama Kampung Sungai Bayor sebenarnya diambil sempena nama pokok bayor yang terdapat di kawasan tapak pembukaan Kampung Sungai Bayor. Oleh kerana terdapat sebatang sungai berhampiran tapak pembukaan tersebut, maka Tok Mat Said telah menggabungkan perkataan bayor daripada pokok bayor dan sungai yang terdapat di situ menjadi Sungai Bayor. Tok Mat Said dikatakan orang yang pertama membuka kampung tersebut.

Jaraknya dari Pekan Selama ialah lebih kurang 12 km. Menurut cerita daripada penduduk setempat, Kampung Sungai Bayor pada asalnya adalah sebuah kawasan hutan rimba. Tok Mat Said dan rombongannya yang berasal dari Pattani telah datang ke kawasan Ulu Selama dengan menaiki sampan untuk membuka kawasan penempatan baru. Apabila sampai di sebuah tempat, beliau dan rombongan berhenti berehat dan bermalam di bawah sepohon pokok iaitu pokok salamah di mana kini ia dikenali sebagai Selama. Beliau berpendapat bahawa tempat itu tidak begitu sesuai untuk dibuka sebagai kawasan penempatan. Oleh itu, beliau dan rombongan meneruskan perjalanan hingga ke satu tempat lain yang lebih sesuai.

Di suatu kawasan, terdapat pokok bayor dan memandangkan kawasan yang baru dibuka itu juga terdapat sebatang sungai yang merupakan satu-satunya laluan pengangkutan yang ada ketika itu, lalu Tok Mat Said menamakan kawasan tersebut sebagai Sungai Bayor. Sungai Bayor mempunyai sejarahnya tersendiri di mana sekitar tahun 1942 hingga 1943, ia merupakan kawasan pembunuhan pesalah-pesalah oleh tentera Jepun dan Komunis. Pesalah ini dibawa dari pelbagai tempat seperti Batu Kurau, Taiping serta sekitar kawasan Ijok. Bagi yang beragama Islam, mereka dimandikan dan disemadikan beramai-ramai di dalam satu kubur di kawasan perkuburan Kampung Damak."

0 comments: