Sunday, December 6, 2009

DAH SOLAT?

"Kitab Rahsia Solat Dan Keutamaanny

Beberapa masalah yang perlu dipelajari

Masalah pertama: Gerak-geri yang sedikit walaupun tiada membatalkan solat, tetepi hukumnya makruh melainkan kerana keperluan, iaitu; seperti menolak orang lalu di hadapan, membunuh kelajenking atau menggaru kerana gatal yang tentu sekali akan menggangu kekusyu'an. Kalau menguap, tidak mengapa meletakkan tangan ke atas mulut; atau jika bersin bolehlah memuji Allah Azzawajalla di dalam hati tanpa menyebut dengan lidah atau kiranya sendawa, maka janganlah hendaknya mengangkat kepala ke atas.

Masalah kedua: Jika seorang saja yang bersolat berimam, hendaklah berdiri di sebelah kanan Imam dibelakangnya sedikit. Jika makmumnya perempuan, hendaklah dia berdiri di belakang Imam. Sekiranya hadir bersama mereka seorang lelaki lain, hendaklah si lelaki itu berdiri di sebelah kanan belakang Imam, dan si perempuaan di belakang makmum lelaki pula.

Masalah ketiga: Makmum masbuk (terlewat) bila mendapat akhir solat imam, maka itulah permulaan solatnya. Hendaklah ia menyertai Imam hingga selasai solatnya, kemudian ia meneruskan pula hingga genap semua solatnya sendiri. Pada solat subuh hendaklah dia berqunut lagi dalam rakaat keduanya sendirian, walaupun dia telah berqunut bersama Imam sebelumnya tadi.

Bila makmum masbuk mendapati Imam telah habis setengah dalam berdirinya, maka janganlah ia membaca doa Iftitahnya lagi, malah hendaklah ia terus membaca Fatihah dengan sedikit cepat. Tetapi apabila Imam ruku' sedangkan ia masih belum selesai membaca Fatihahnya, hendaklah mengagak kiranya sempat ia mengusul Imam waktu i'tidalnya dari ruku' bolehlah ia terus menghabiskan Fatihahnya, jika tak sempat hendaklah ia berhenti dari Fatihah dan terus ruku' bersama-sama Imam, sebab dihukumkan setengah Fatihahnya menjadi kesemuanya dan gugurlah Fatihah itu dengan kemasbukannya. Jika Imam ruku' sedangkan ia masih membaca surah, hendaklah ia memutuskannya, lalu terus ruku' bersama imam, Jika ia mendapati di pertengahan sujud atau tasyahhud, hendaklah ia bertakbir ihram dan terus sujud atau duduk bersama Imam tampa perlu bertakbir lagi, kecuali jika ia mendapati Imam di pertengahan ruku', maka hendaklah ia bertakbir lagi sesudah takbiratul-ihram, sebab takbir kedua itu adalah takbir perpindahan yang mesti dikira atasnya.

Makmum masbuk tidak dikira mendapat satu rakat dengan Imam, selagi tiada tumakninah di daalam ruku'nya, manakala Imam ketika itu masih dalam batasan orang-orang yang ruku', jika tiada bererti tiada terkiralah itu satu rakaat.

Masalah keempat: Sesiapa yang tertinggal solat zohornya hingga ke waktu asar, hendaklah ia bersolat zohor dulu kemudian asar pula, tetapi kiranya ada orang yang mendirikan solat asar berjemaah, hendaklah ia mendahulukan asar berjemaah, kemudian bersolat zohor sesudah itu, sebab solat berjemaah itu lebih utama.

Masalah kelima: Sesiapa yang telah menunaikan solat kemudian didapati pada pakaiannya ada najis, sebaik-baiknya ia mengqadha'kan solat itu, tetapi hukumnya tidak wajib qadha', Jika ia melihat ada najis pada pakaiannya ketika di dalam solat, hendaklah ia melontarkan pakaian itu seraya meneruskan solatnya, Asal hukum ini ialah kembali kepada peristiwa Nabi menanggalkan kedua kasutnya, apabila Jibril a.s. memberitahunya bahawa padanya ada najis, maka segeralah baginda menanggalkannya, lalu meneruskan solat hingga akhirnya.

Masalah keenam: Sesiapa yang meninggalkan tasyahhud awal ataupun merasa syak tidak ingat berapa rakaat sudah dilakukannya; apakah tiga rakaat ataupun empat, hendaklah ia ambil dengan yang yakin, kemudian ia sujud sahwi sebelum salam. Kiranya ia lupa pula boleh juga dibawanya sujud sahwi itu sesudah salam apabila ia ingat, asalkan masanya tidak terlalu jauh.

Masalah ketujuh: Waswas dalam meniatkan solat dalam hukum syara'. Kerana dalam segi niat dan maksud mematuhi perintah Allah azzawajalla itu, samalah seperti mematuhi perintah selainnya, begitu pula membesarkannya seperti membesarkan selain darinya. Andaikata seseorang kamu telah didatangi oleh seorang alim, lalu dia pun bangun kerana menghormati orang alim itu. Kalau dia berkata: Aku berniat hendak berdiri tegak untuk menghormati kedatangan si Fulan yang termulia itu, kerana keutamaannya, dan dia pun menghadapkan wajah kepada si Fulan itu. Orang ini adalah seorang safih atau kurang sempurna akalnya (kerana perkara serupa itu tidak perlu hendak diniatkan terlebih dulu � pent.). Tetapi bila dilihatnya keadaan si Fulan itu dan diketahui keutamaannya, tentulah akan timbul dalam dirinya perasaan ingin menghormatinya, dan dia lalu bangun memberikan penghormatan; memadailah dengan cara begitu dia menjadi seorang yang menghormati kepada si Fulan tadi. Kecuali jika dia bangun itu kerana tujuan yang lain, ataupun dia bangun dalam keadaan lalai � itu tiada dikira sebagai penghormatan.

Adapun mensyaratkan niat sesuatu solat itu sebagai zohor yang ditunaikan pada waktunya sebagai adaan, fardhan (tunai fardhu); iaitu kerana menurut perintah syara', maka itu samalah seperti mesyaratkan berdiri menghormat seketika tamu masuk dengan muka menghadap kepada tamu yang masuk itu serta memalingkan perhatian dari selainnya, dan serentak pula dia meniatkan penghormatan kepada tamu itu agar benar-benar menjadi penghormatan yang tulen. Andaikata ia turut berdiri tetapi membelakangi si tamu, atau menunggu seketika waktu kemudian barulah ia berdiri; ini bukanlah dinamakan penghormatan. Sifat-sifat ini mestilah menjadi termaklum dan termaksud pada orang yang berniat dan tiada boleh hadirnya terlalu lama di dalam diri dalam suatu masa, melainkan sekadar lamanya penyusunan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan niat itu menerusi sebutannya dengan lidah, ataupun memikirkannya dengan hati. Barangsiapa yang tiada mengerti niat solat dalam wajah (rupa) ini, seolah-olah dia belum mengerti niat yang sebenarnya. Jadilah ia seperti seorang yang diajak untuk bersolat dalam waktunya, maka ia pun mengangguk tanda setuju, lalu berdiri melakukan solat itu.

Ketahuilah, bahawa waswas itu adalah kejahilan yang tulin.

Masalah kedelapan: Seorang makmum tidak boleh mendahului Imamnya dalam ruku', sujud dan bangun dari keduanya, begitu pula pada semua amalan-amalan solat yang lain. Dia tidak boleh juga menyertai gerak-laku Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni membuat sesudah Imam habis membuatnya. Itulah yang dimaksudkan dengan pengertian iqtida' (mengikut atau makmum). Jika ia mendahului gerak-laku Imamnya, ada setengah ulama menghukumkan solat itu batal dan setengah yang lain tidak (tetapi hilang pahala berjemaah � pent.).

Rasulullah s.a.w. telah melarang dengan keras kelakuan serupa itu dengan sabdanya:

�Tidakkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imamnya itu merasa takut, nanti Tuhan akan menggantikan kepalanya dengan kepala keledai.�

Masalah kesembilan: Wajiblah atas setiap orang yang menghadiri solat beramai-ramai menegur saudaranya, jika ia melihat sesuatu kesalahan dalam solat saudaranya itu, dengan membetulkannya atau mengingatkannya. Kalau orang itu seorang yang jahil tentang hal agamanya, maka hendaklah dia menegurnya dengan lemah-lembut serta mengajarnya.

Di antara kesalahan-kesalahan yang sering berlaku ialah meratakan saf, atau melarang berdiri sendirian di luar saf, atau mengingatkan supaya jangan mengangkat kepala sebelum Imam atau sebagainya.

1. Solat-solat sunnat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah, sama ada waktu di rumah atau di masa pelayaran � pent.

2. Jika selepas subuh dan asar tidak perlu dibuat solat sunnat lagi kerana ada larangan � pent.

Diriwayatkan dari Umar Ibnul-Khattab, beliau berpesan: Sering-seringlah mencari rakan-rakan kamu dalam solat berjamaah, kiranya mereka tiada hadir kerana mengidap penyakit, maka hendaklah kamu melawat mereka. Jika mereka baik, tetapi tidak hadir berjamaah, hendaklah kamu mencela mereka.

Mencela dari hadir solat berjemaah adalah amat diberatkan oleh agama, tidak boleh diambil senang saja. Orang-orang dahulukala sangat-sangat mengambil berat sekali tentang solat yang berjamaah.

KETERANGAN MENGENAI IBADT-IBADAT YANG SUNNAT

Ketahuilah, bahawa solat-solat selain yng difardukan itu adalah dinamakan nafilah dan tathawwu' (sunnat dan sukarela).

Di antara solat-solat yng sunnat ialah mengenai sebab-sebab kusuf (gerhana matahari atau bulan) atau istisqa' (meminta hujan). Ada yang mengenai waktu-waktu solat fardhu, iaitu seperti sunnat-sunnat rawatib' dan sebagainya.

Solat-solat sunnat rawatib itu ialah:

(1) Sunnat subuh, iaitu dua rakaat sebelum subuh; masuk waktunya dengan terbitnya fajar (sadiq). Apabila seseorang masuk masjid dan muazzin sudah beriqamat, maka hendaklah ia mengerjakan solat fardhu yng didirikan itu, sebab Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

�Apabila solat telah diiqamatkan, maka tiada solat lagi (sunnat) melainkan mengerjakan solat fardhu itu.�

Sesudah selesai bersolat fardhu itu, berdirilah ia semula untuk menunaikan dua rakaat sunnat yang tertinggal itu.

(2) Sunnat zohor, iaitu empat rakaat sebelum zohor dan empat rakaat sesudahnya.

Solat sunnat ini boleh ditunikan empat rakaat sekaligus dan boleh juga dengan dua rakaat, dua rakaat (dan itu adalah lebih afdhal � pent.)

(3) Sunnat asar, iaitu empat rakaat sebelum asar. Tentang solat ini Rasulullah s.a.w. tidak begitu memberatkannya sangat, seperti baginda memberatkan sunnat-sunnat zohor.

4. Sunnat maghrib, iaitu dua rakaat sesudah solat maghrib. Adapun dua

rakaat sebelumnya di antara azan dan igamat dilakukan dengan cepat, para sahabat ramai yang melakukannya, dan memang telah disahkan perintah Nabi s.a.w. ke atasnya, tetapi tidak digalakkan- kalau mahu boleh buat, kalau tidak tak mengapa.

5. Sunnat isya', iaitu dua rakaat ataupun empat rakaat sesudah isya',

Adapun solat sunnat witir, maka masuk waktunya sesudah solat isya', dan sebanyak-banyaknya hingga sebelas rakaat. Boleh juga dia solat witir dengan sembilan rakaat, ataupun tujuh rakaat, ataupun lima rakaat, ataupun tiga rakaat bersambung dengan satu salam ataupun dengan dua salam (yakni dua rakaat dengan satu salam dan satu rakaat satu salam - Pent.). Melakukan solat witir sesudah solat tahajjud di bahagian akhir malam lebih utama.

Adapun sunnat solat dhuha, menurut riwayat banyak bilangannya ialah delapan raakat, dan sekurng-kurangnya dua rakaat. Dan waktunya bermula dari terbitnya matahari dan meningginya.

Adapun solat sunnat dua Hari Raya, maka hukumnya sunnat muakkadah (sangat dituntut). Ia juga merupakan syiar agama yang utama. Sunnat pada Hari Raya mandi kerana membersihkn diri, memakai pakaian-pakaian yang cantik dan memakai bau-bauan.

Solat sunnat tarawih pula, ialah sebanyak dua puluh rakaat, dan cara-cara mengerjakannya memang telah dimaklumi.

Solat sunnat khusuf (gerhana matahari atau bulan) adalah dua rakaat; orang ramai dipanggil untuk berkumpul kerananya, kemudian Imam menyembhyangkannya berjemaah di masjid, iaitu dengan dua kali ruku' dan dua kali sujud pada tiap-tiap rakaat. Selesai solat, Imam pun bangun menyampaikan khutbahnya (pidatonya) menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan memperbanyakkan taubat. Masuk waktunya, ketika bermula gerhana itu sehingga kembali sempurna semula.

Solat sunnat istisqa' atau solat untuk memohon hujan. Apabila sungai kering airnya dan hujan pun telah lama tidak turun, maka hendaklah pemerintah menyeru orang ramai untuk berpuasa selama tiga hari dan mengeluarkan sedekah sekadar kemampuan mereka, menjauhkan diri dari melakukan penganiyaan, memperbanyak bertaubat dari segala rupa maksiat. Kemudian pada hari keempat pemerintah mengajak orang ramai termasuk orang tua dan kanak-kanak dengan memakai pakaian-pakaian buruk dan koyak-koyak dalam keadaan hina dan rendah diri. Jika orang-orang Zimmi (kafir yang hidup di bawah perlindungan Islam) ingin menyertai mereka pun boleh, tetapi harus dipisahkn pada tempat lain yang tersendiri.

Setelah mereka sekalian berkumpul di tanah lapang atau di padang yang luas, maka diserukan kepada mereka untuk bersembhyang istisga', Diseru dengan: as-Shalah Jamiah (Solat beramai-ramai).

Kemudian Imam bangun bersolat bersama-sama mereka berjemaah seperti solat Hari Raya tetapi tanpa bertakbir, kemudian Imam berdiri lagi menyampaikan dua khutbah dengan memperbanyakkan ucapan-ucapan minta ampun sambil berdoa.

Solat jenazah (mayat). Cara-caranya sudah diketahui umum dan ialah fardhu kifayah. Ia dikira sunnat ke atas diri seseorang, bila sudah ada orang lain menguruskannya.*

_______________________

1. Jika tidak ada seorang yang menguruskan mayat, maka semua orang akan berdosa ---- pent.

2. Istikharah: Minta Allah mengerakkan hati sama ada sesuatu perkara yang hendak dibuat itu baik atau tidak ---- pent.

Sunnat tahiyat masjid iaitu dua rakaat sebagi sunnat muakadah. Jika ia masuk masjid lalu terus bersolat fardhu atau qadha', ia mendapat juga pahala tahiyat masjid dan keutamaannya. Kerana tujuan utama dari tahiyat masjid, ialah agar seseorang bila memasuki masjid jangan sampai kosong dari membuat sesuatu ibadat yang tertentu di dalam masjid itu.

Dua rakaat sunnat wudhu', yakni yang dilakukan sesudah mengambil wudhu, itu adalah kerana sangat-sangat dituntut kerana mengambil wudhu' itu satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan tujuan dari mengambil wudhu' itu adalah kerana bersolat.

Solat sunnat istikharah. Seseorang yang hendak melakukan sesuatu perkara yang baik sedangkan hatinya sukar untuk memutuskan, maka menurut Rasullah s.a.w. baiklah dia melakukan solat ini; iaitu dua rakaat saja. Di baca pada rakaat pertama fatihah dan surah Qulya aiyuhal Kafirun dan pada rakaat kedua pula Fatihah dan surah al-Ikhlas atau Qul Huallahu Ahad. Kemudian sesudah itu, dia berdoa pula sebagai berikut:

� Ya Allah! Ya Tuhanku! HambaMu memohon penentuanMu yang baik dengan ilmuMu, dan penetapanMu dengan kekuasaanMu dan hamba memohon dari keutamaanMu yang Agung, kerana Engkaulah yang mentakdirkan sesuatu sedangkan hambaMu lemah tak berdaya; Engkaulah Mengetahui segala sesuatu sedangkan hambaMu tiada mengetahui, dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan segala perkara-perkara yang ghaib.

�Ya Allah! Ya Tuhanku! Kiranya Engkau Mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan perkara itu) adalah baik bagi diri hamba, sama ada mengenai agama, mahupun duni hamba; ataupun akibat urusan hamba, sama ada yang sekarang , mahupun yang akan datang, maka takdirkanlah bagi hamba untuk memperolehinya dan berikanlah hamba keberkatan padanya serta permudahkanlah ia bagi hamba. Sebaliknya kiranya Engkau Mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan perkara itu) adalah buruk bagi diri hamba, sama ada mengenai agama, mahupun dunia hamba; ataupun akibat urusan hamba, sama ada yang sekarang, mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah hamba daripadanya dan jauhkanlah ia daripada hamba, dan takdirkanlah bagi hambaMu ini hanya yang baik saja sekalipun di mana-mana da dorongkanlah hamba untuk melakukan yang diredhai olehMu!�

Sesudah berdoa sedemikian rupa, hendaklah ia menyatakan hajatnya pula.

Waktu-waktu yang dimakruhkan bersolat

Waktu-waktu yang dimakhruhkan bersolat ada lima:

Selepas solat asar

Selepas solat subuh

Selepas tergelincirnya matahari

Waktu terbitnya matahari

Waktu tenggelam matahari.

Semua waktu-waktu ini makruh melakukan solat yang tidak berbersebab. Adapun solat-solat yang ada sebabnya seperti mengqadhakan solat sunnat, solat kerana gerhana matahari atau bulan, atau solat jenazah maka tiadalah dihukumkan makruh.

Sebab larangan ialah untuk memelihara diri dari menyamai perbuatan orang-orang yang menyembah matahari pada ketika itu.

Dan juga untuk menimbulkan daya dan tenaga, Jadi dengan menjauhi waktu-waktu tersebut dalah sebagai tambahan pendorongan dan menimbulkan perhatian untuk menunggu selesainya masa-masa itu.

Solat sunnat yang boleh diqadha'kan.

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda pernah bersolat dua rakaat sesudah asar. Para sahabat bertanya: Bukankah tuan hamba telah melarang kami dari melakukan solat pada waktu ini? Sabda baginda: Dua rakaat yang saya solat tadi, ialah solat yang biasa saya lakukan sesudah zohor, tetapi saya telah terhalang daripadanya oleh perutusan yang datang tadi.

Saiyidatina Aisyah r.a pula berkata: Rasulullah s.a.w apabila tertidur ataupun sakit sehingga baginda tidak bangun malam untuk bersolat, baginda akan bersolat pada awal siang hari (mengqadha'kannya) sebanyak dua belas rakaat.

Oleh itu barangsiapa yang biasa melakukan zikir pada waktu-waktu tertentu, lalu tertinggal kerana sesuatu uzur, maka sewajarnya lah ia tiada membiarkannya tertinggal begitu saja, bahkan hendaklah ia membuatnya pada waktu yang lain, sehingga tiada terbiasa bagi dirinya merasa senang-senang untuk meninggalkan sesuatu yang berfaedah. Menggantikan masanya dengan masa yang lain adalah baik sekali, kerana tujuan menentang hawa nafsu dan dengan maksud supaya ia tiada bermalas-malas untuk melangsungkan tertib amalannya terus-menerus.
Webstats4U - Free web site statistics"

0 comments: