Monday, September 14, 2009

LATAR BELAKANG MURID SMK SUNGAI BAYOR

1. SMK Sg Bayor terletak di kawasan Ulu Selama. Kawasan ini dikenali dengan penduduknya yang berketurunan Melayu tetapi merupakan kumpulan pelarian orang-orang Melayu Patani yang meninggalkan kampung halaman mereka semasa Siam mula memerintah Patani pada awal abad ke dua puluh. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa penduduk di sini kental dengan hidup dalam serba kekurangan dan kepayahan. Kawasan kediaman mereka juga jauh dari kawalan pusat pentadbiranmenyebabkan mereka agak bebas, berdikari, dan sukar dikawal. Namun begitu pegangan agama di kalangan ahli masyarakat adalah kuat dan ini merupakan faktor yang positif ke arah pembentukan masyarakat yang lebih madani
2. Generasi Melayu Pattani yang berada di bangku sekolah menengah sekarang ini merupakan generasi ketujuh daripada generasi pendatang asal. Kehidupan di dalam masyarakat kini adalah lebih selesa berbanding dengan kehidupan dalam tahun-tahun 70-an dan sebelumnya. Namun begitu masih ramai lagi penduduk yang tinggal agak jauh di pedalaman dan suasana kampung masih tidak jauh berbeza dengan kehidupan tahun-tahun terdahulu.
3. Apa yang menarik ialah arus pemodenan telahpun sampai hingga ke ceruk kampung di kawasan ini. Gejala ini dapat dilihat daripada berubahnya corak pekerjaan, kebebasan wanita, peralatan rumah, jenis-jenis kenderaan dan pengaruh media massa. Kini lebih ramai penduduk yang telah bekerja di kilang sehinggakan terdapat juga suami isteri yang sama-sama bekerja di kilang-kilang. Anak-anak ke sekolah atau bermain di rumah biasanya tiada kawalan ibu bapa. Perlu juga disebut di sini bahawa masih ramai lagi ibu bapa yang mengekalkan pekerjaan tradisional mereka dan masih juga bersikap dengan sikap yang lama. Seperti penduduk bandar wanita-wanita muda meninggalkan rumah tanpa mengira waktu sama ada siang ataupun malam untuk bekerja di kilang-kilang. Kesenangan hidup hasil daripada pendapatan yang agak tetap memungkinkan mereka membeli peralatan rumah dan barangan elektrik untuk hidup lebih selesa. Pemilikan kenderaan terutama motosikal adalah cukup meluas sehinggakan kanak-kanak sekolah rendah pun berani menunggang motosikal di jalan raya. Pengaruh media massa seperti televisyen, internet dan majalah hiburan setanding dengan mana-mana tempat di Malaysia.
4. Kesan daripada berubahnya corak sosio-budaya dan keselesaan hidup ini dapat dilihat daripada karenah dan tingkah laku murid-murid di sekolah menengah:-
a) Ramai yang tidak berminat dengan lapangan akademik. Mereka mungkin ketinggalan dalam pelajaran mereka sehinggakan kemajuan mereka terabai dan sukar dapat dipaiki lagi. Kehadiran ke sekolah adalah satu rutin yang dituntut daripada peringkat umur mereka
b) Ramai pelajar yang tidak mempunyai perspektif hidup yang jelas. Mereka seolah-olah menyerahkan masa depan mereka kepada nasib dan takdir
c) Perkembangan dan peningkatan iman dan ketaqwaan mereka terbantut. Mereka tidak berminat dengan mata pelajaran akademik. Mata pelajaran Agama Islam juga diajar seperti mata pelajaran lain terpisah daripada jiwa agama. Ibu bapa juga tidak menjadi pendorong dan penggerak kepada perkembangan jiwa agama di kalangan anak-anak mereka
d) Pengaruh pasca modenasasi telah menjalar di kawasan ini dan dapat dilihat dari;
~ anak-anak muda yang tidak segan pilu untuk meniru dan menggayakan budaya pinggiran masyarakat barat (stail pakaian dan tingkah laku penyanyi barat )
~ suka dan minat kepada corak pakaian selekeh;
~ meniru lagak gaya artis-arti stempatan;
~ berminat dengan gaya kehidupan yang bebas dan tidak sabar untu mengalami kehidupan berseronok-seronok;
~ merasa bangga apabila mempunyai teman lelaki (atau teman perempuan bagi pelajar lelaki) dan sanggup mengikut lelaki berpoya-poya;
~ bertambahnya kes-kes salah laku di kalangan pelajar lelaki dan perempuan terutama dalam kes-kes kejantinaan
5. Gambaran ekstrem ini sengaja dipaparkan untuk menunjukkan bahawa masalah sosial dan keruntuhan akhlak ini adalah benar-benar berlaku dan wujud dalam masyarakat yang dianggap masyarakat kampung pedalaman. Pada sesetengah orang masyarakat yang sebegini masih lagi dapat mempertahankan kesucian, kemurnian, dan keluhuran kehidupan yang berteraskan agama. Akan tetapi tanggapan yang sedemikian boleh dikatakan meleset pada waktu ini. yang paling membimbangkan ialah sikap acuh tak acuh kepada agama, tidak menunjukkan rasa takut kepada Allah. Keadaan ini memudahkan pengaruh luar untuk menggoncangkan dan menghakis aqidah mereka

0 comments: